EVENT

Karnival Kewangan Kuala Terengganu Penuh Informasi Untuk Seluruh Lapisan Masyarakat

April 15, 2019
Karnival Kewangan Kuala Terengganu Penuh Informasi Untuk Seluruh Lapisan Masyarakat | Baru - baru ini. Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama institusi kewangan telah menganjurkan Karnival Kewangan Terengganu bermula 4 hingga 6 April 2019 di TH Hotel & Pusat Konvensyen Kuala Terengganu. Karnival ini merupakan siri kelima selepas Karnival Kewangan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching dan Kedah. 


Semestinya, sebagai warga tetap Kuala Terengganu, Gee turut datang bersama suami dan anak - anak ke Karnival Kewangan tersebut. Seperti di hebahan sosial media, sememangnya terdapat pelbagai aktiviti menarik untuk seluruh lapisan masyarakat tidak kira kanak-kanak, orang dewasa malah warga emas. 


Karnival yang bertemakan “Utamakan Keperluan Kewangan Anda” ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang perkhidmatan dan produk kewangan, celik kewangan dan memperkukuh tahap pengurusan kewangan masyarakat dengan memberikan penekanan pada kecenderungan masyarakat setempat.


Satu siri jerayawara yang diberi nama “Sembang Santai Bersama Rakan-Rakan Karnival Kewangan” telah diadakan sebelum berlangsungnya Karnival sebagai usaha untuk mempromosikan Karnival ini. Melalui jerayawara itu, masyarakat tempatan tanpa mengira usia ditawarkan pelbagai perkhidmatan dan nasihat kewangan seperti tip mengenali ciri-ciri keselamatan wang kertas Malaysia, amalan pengurusan kewangan yang baik, pembukaan akaun bank, cetakan laporan CCRIS dan pendaftaran eCCRIS. Jarak perjalanan sejauh 1,200km yang meliputi 11 lokasi di Pahang, Terengganu dan Kelantan telah memberikan manfaat kepada lebih 3,000 orang.


Pada 4 April 2019, Karnival ini dihadiri oleh Y.A.B Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Semasa lawatan Y.A.B Dr. Ahmad, pelancaran laman sesawang MyWakaf dan Gerbang Pembayaran MyWakaf oleh Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) juga berlangsung.


Di samping itu, BNM mengadakan beberapa sesi dialog dengan perniagaan tempatan, komuniti kewangan, agensi-agensi kerajaan dan pelajar-pelajar universiti yang dipengerusikan oleh Penolong Gabenor Abu Hassan Alshari Yahaya dan Penolong Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid. Melalui sesi dialog tersebut, maklum balas positif, cabaran dan pendapat mengenai perkembangan yang memberikan kesan kepada wilayah Pantai Timur turut dikongsi.


Karnival Kewangan Terengganu menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada lebih 18,000 pengunjung dari Pantai Timur. Karnival ini disertai lebih 40 institusi kewangan dan agensi kerajaan yang mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing serta menyediakan khidmat nasihat kewangan dan akses pembiayaan. Seramai 1,800 pengunjung telah mencetak laporan CCRIS untuk menyemak status kredit dan mendaftar perkhidmatan eCCRIS. Karnival ini turut merekodkan lebih 16,000 khidmat nasihat kewangan dan kira-kira 4,000 transaksi kewangan bernilai lebih RM25 juta telah berjaya disempurnakan. 


Para pengunjung mendapat manfaat daripada taklimat tentang topik-topik seperti pembiayaan PKS, Skim Cepat Kaya, pengurusan hutang yang berkesan pada perspektif Islam, e-pembayaran, perlindungan insurans/takaful, Forum Perdana Ehwal Islam serta sesi perkongsian bersama usahawan berjaya seperti Caprice, Yaya Kuih Bulan dan Raw Denim House.


Karnival Kewangan ini adalah satu kerjasama antara Bank Negara Malaysia dengan industri kewangan, dan merupakan salah satu batu loncatan yang penting bagi meningkatkan lagi tahap celik kewangan di Malaysia.

Gee personally mencadangkan agar Karnival Kewangan sebegini sentiasa diadakan di Kuala Terengganu bagi terus memberi info kewangan terkini buat seluruh masyarakat tempatan. Ia merupakan inisiatif terbaik yang perlu dikekalkan. 

#KarnivalKewangan
#KarnivalKewanganKualaTerengganu
#KualaTerengganu
#KarnivalKewanganKT







































You Might Also Like

2 komen

  1. waaa, seronok karnival gini. memang recommended setiap kali ada. bila kelantan nk jadi tuan rumoh pulok

    ReplyDelete
    Replies
    1. tu ah! memang infomatif sungguh karnival ni!!

      Delete